PETALING JAYA: Seramai 864,450 warga emas berusia 60 tahun ke atas masih belum mendapatkan dos penggalak Covid-19 setakat ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia suatu perkara yang membimbangkan kerana golongan tersebut paling berisiko dijangkiti wabak itu sehingga boleh membawa kematian.
“Kes kematian sekarang banyak tertumpu kepada golongan tersebut terutama yang belum disuntik dos penggalak.
“Dalam fasa peralihan ini, kita harus melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti orang tua kita,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Berdasarkan data kes kematian Covid-19, warga emas berusia 80 tahun ke atas merekodkan kes kematian tertinggi minggu lalu iaitu 31.7 peratus daripada 100,000 orang dalam kumpulan umur berkenaan.
Dalam pada itu, Khairy mengingatkan kepada semua umat Islam agar sentiasa memakai pelitup muka ketika menunaikan solat di masjid dan surau.
“Alhamdulillah, masjid mula penuh untuk solat berjemaah. Terus pakai pelitup muka dengan cara yang betul.
“Memakai pelitup muka dengan betul terutama dalam kawasan tertutup dengan pengudaraan yang baik sangat penting untuk menangani Covid-19,” katanya.-UTUSAN ONLINE