MARANG: Suasana di Masjid Rusila di sini dipenuhi lebih 2,000 jemaah yang menunaikan Solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal, bermula hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan membawa sejadah masing-masing di samping memakai pelitup muka.
Keterujaan umat Islam untuk menunaikan solat yang diimamkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu turut mendorong segelintirnya datang seawal pukul 12 tengah hari.
Menurut Ismail Embong, 60, air matanya bergenang apabila dapat kembali bersolat secara rapat di masjid sebagaimana rutin sebelum Covid-19 melanda.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saf kembali dirapatkan mulai hari ini.
“Tentunya kebenaran ini memberi lebih semangat buat umat Islam terutama menjelang ibadah Ramadan beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui.
Aktiviti solat jemaah di 509 masjid dan 1,546 surau di Terengganu kembali dirapatkan berkuat kuasa hari ini susulan fasa peralihan endemik.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, serentak perkembangan itu, aktiviti solat sunat Hari Raya Aidilfitri turut boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. –UTUSAN ONLINE