SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menjangkakan pemutihan pusat tahfiz di negeri ini yang sepatutnya berakhir pada Mac lalu dilanjutkan berikutan terdapat kira-kira 300 lagi institusi itu belum membuat permohonan.
Pengusaha-pengusaha belum membuat permohonan selepas negara berhadapan wabak Covid-19 yang bermula pada 2020 sebelum beralih ke fasa endemik bermula 1 April lalu.
Menurut Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, walaupun taklimat telah diberi kepada pentadbir pusat tahfiz 12 April tahun lalu, namun sambutan yang diterima adalah sederhana.
“Buat masa ini, masih ada 300 pusat tahfiz yang belum membuat permohonan untuk pemutihan atau pendaftaran.
“Sebelum ini, jumlahnya adalah 600 lebih dan turun kepada 500 lebih. Mungkin kita akan melanjutkan permohonan pemutihan disebabkan situasi pandemik belum berakhir sepanjang tempoh diberikan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Ijtimak Huffaz Kali Ke 15 anjuran Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).
Yang hadir sama ialah Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Shahir Makhtar.
Mohd. Zawawi memberitahu, proses pemutihan pusat tahfiz menghadapi masalah disebabkan isu kewangan, pusat tahfiz yang bergabung dan lain-lain lagi.
Mengulas mengenai program Selangor#QuranHour sempena program Ijtimak Huffaz tersebut, ia bersesuaian dengan Ramadan sebagai bulan Al-Quran diturunkan dan waktu untuk tadabbur kitab suci disemarakkan.
Sementara itu, Muhamad Hafiz berkata, program membaca Al Quran yang berlangsung selama 24 jam menerusi bacaan 30 juzuk secara hafazan oleh 30 huffaz diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
“Bacaan dibuat secara halaqah (lingkaran) menerusi kaedah bersemuka dan secara dalam talian. Seramai 2000 orang membaca Al Quran, tiga hari dua malam,” jelasnya.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Eksekutif Akaun MBOR, Mohd Nazrul Hafizi Fauzi kepada Muhamad Hafiz. –UTUSAN ONLINE