PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk menjelaskan segera krisis pengurusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) susulan peletakan jawatan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Syed Zaid Albar secara mengejut pada Khamis lalu.
Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil berkata, susulan perkembangan itu, negara menjadi seperti bahan lawak yang juga menjejaskan kredibiliti SC ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz terus membisu dan tidak tampil memberikan penjelasan.
“Ada dakwaan yang mengatakan krisis di SC berlaku kerana wujudnya campur tangan politik ‘peringkat tertinggi’ dalam kontroversi Serba Dinamik Holdings Bhd.
“Lebih malang, Datuk Syed Zaid Albar yang merupakan seorang teknokrat digantikan oleh orang kuat UMNO, Datuk Awang Adek Hussin. Awang Adek pernah terkait dengan skandal wang dengan mengakui menerima sumbangan politik ke dalam akaun peribadinya pada tahun 2011.
“Oleh itu, kerajaan harus segera memberikan penjelasan kepada awam berkaitan krisis pengurusan yang berlaku di dalam SC supaya imej dan integriti suruhanjaya itu terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Semalam, media melaporkan, Awang Adek yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC yang baharu bermula 1 Jun ini.
Syed Zaid telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC selama tiga tahun sejak 2018 sebelum dilanjutkan tempoh perkhidmatannya tiga tahun lagi pada 1 November 2021 lalu yang mana tempoh kontrak tersebut sepatutnya berakhir pada 2024.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz menambah, satu jawatan kuasa bipartisan Parlimen perlu segera dibentuk bagi meneliti krisis kepimpinan di SC itu.
“Terdapat pelbagai persoalan di kalangan awam yang perlu dirungkaikan ketika ini iaitu, sama ada krisis ini disebabkan oleh campur tangan politik dan sama ada Serba Dinamik cuba dilindungi pihak tertentu?.
“Apatah lagi SC sebelum ini terkait dengan kontroversi isu ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki yang disiasat berkaitan skandal dagangan proksi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan calon baharu yang lain untuk menggantikan Syed Zaid.
Katanya, ini kerana pelantikan Awang Adek yang merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO hanya akan mencalar kredibiliti SC.
“Imej SC tidak boleh dikompromi. Hakikatnya, SC memerlukan kepimpinan yang tidak bersandar pada politik dan mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap pasaran modal.
“Sekiranya krisis ini tidak diselesaikan segera, Malaysia akan gagal menarik minat pelabur dan syarikat-syarikat luar negara yang pasti menjejaskan ekonomi negara,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE