Kenaikan harga tapak bazar sesuai lokasi, keluasan - Utusan Malaysia

Kenaikan harga tapak bazar sesuai lokasi, keluasan

RASYDAN Zahier meninjau kerja-kerja akhir pemasangan khemah di tapak Bazar Aidilfitri Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penganjur Bazar Aidilfitri Klebang menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tapak yang disewakan kepada peniaga ditawarkan melebihi daripada RM5,000.

Penganjurnya, Rasydan Zahier berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, harga yang ditawarkan kepada peniaga adalah serendah RM4,500 hingga RM5,000 bagi khemah berkeluasan 18 kali 18 iaitu sebanyak 190 tapak.

Jelasnya, harga itu juga dianggap berpatutan ekoran bazar yang tahun lalu berada di pesisir Pantai Klebang telah berpindah ke tempat asal iaitu di Taman Klebang Utama atas arahan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Harga tapak sewa ini naik hanya RM500 berikutan sewa khemah dan pendawaian mengalami kenaikan harga.

“Setakat ini, tidak ada peniaga di sini merungut dengan kadar sewa tapak yang ditawarkan dan semua 190 tapak telah ditempah dan mereka hanya menunggu masa sesuai untuk memasukkan barang-barang jualan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kadar sewa tapak bazar Ramadan di beberapa negeri melambung melebihi 70 peratus, lantas membebankan peniaga kecil yang baru bangkit setelah jatuh teruk ketika pandemik dua tahun lepas.

Dalam pada itu, Rasydan turut menegaskan, pihaknya juga tidak membenarkan peniaga menyewakan tapak mereka kepada pihak lain semata-mata ingin mengaut keuntungan atas angin.

Jelasnya, semua peniaga perlu mematuhi segala syarat dan lesen ditetapkan MBMB, jika tidak ia akan ditarik semula.

“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang laporan kegiatan ‘Ali Baba’ iaitu tapak bazar disewakan kepada pihak lain.

“Penampilan bazar kali ini dijangka menarik perhatian pengunjung kerana susunan yang lebih kemas dan teratur,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya