Kan sudah nak debat, kenapa pula masih serang saya? - Najib - Utusan Malaysia

Kan sudah nak debat, kenapa pula masih serang saya? – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan bekas Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli yang masih menyerangnya meskipun debat sudah dipersetujui. 

Mengulas mengenai hantaran terbaru mengenai isu kewangan syarikat Sapura Energy BHD (Sapura), Najib berkata, Mohd. Rafizi akhirnya mengaku bahawa Sapura bukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  semasa ahli Parlimen Pekan itu menjadi Perdana Menteri. 

“Tetapi, dia masih mahu salahkan saya sebab gaji dan pampasan bagi pengurusan lama sebab Permodalan Nasional Berhad (PNB) ada sedikit pelaburan dalam Sapura masa itu. 

“Kucing kamu sakit perut juga mahu salahkan saya tak,” katanya. 

Jelas Najib, tabung-tabung simpanan awam seperti PNB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melabur dalam bentuk ekuiti dalam ratusan atau ribuan syarikat tersenarai di dalam pasaran Malaysia dan luar negara.

Ujarnya, KWSP sahaja mempunyai kepentingan saham dalam 173 saham tersenarai di Bursa Malaysia. 

“Sebab itu, setiap syarikat tersenarai mempunyai lembaga pengarah untuk menjaga kepentingan syarikat. Setiap tabung-tabung simpanan awam pula ada lembaga pelaburan masing-masing untuk memantau pelaburan mereka. Jadi, apa fungsi mereka?

“Tak akan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mahu pantau hal ehwal setiap syarikat tersenarai yang tabung-tabung simpanan pernah dan sedang membeli ekuiti dalamnya?

“Jika pun saya salah semasa Sapura bukan GLC, siapa pula yang perlu disalahkan semasa kerajaan PH menyuntik lebih dana dalam Sapura untuk menjadikannya GLC pada tahun 2019 pada ketika gaji dan pampasan pengurusan lama masih tinggi?

“Dan jika pun kamu tetap nak salahkan saya, adakah kamu juga akan beri segala pujian dan kredit atas kadar dividen tahunan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang cukup tinggi sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri berbanding kadar dividen yang menjunam rendah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)?,” katanya. 

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menyahut cabaran debat bekas Ahli Parlimen Pandan itu, tetapi perlu disertai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Selepas Anwar bersetuju, Najib meminta pasukan Ahli Parlimen Port Dickson itu dan Mohd, Rafizi untuk mengaturkan dengan media sekiranya ada pihak yang berhasrat menyiarkan debat itu secara langsung. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya