MERSING: Siasatan lanjut terhadap jurulatih penyelam yang berjaya ditemukan selepas hilang bersama tiga pelajarnya di Pulau Tokong Sanggol, di sini kelmarin masih belum dapat dilakukan sepenuhnya.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, ia berikutan keadaan mangsa iaitu Kristine Grodem, 35, yang merupakan warga Norway masih lemah dan trauma terhadap kejadian itu.
“Kami sudah bertemu dengan wanita itu semalam, dia masih dalam keadaan tidak stabil untuk bekerjasama dengan kita kerana masih lemah dan trauma.
“Ekoran itu siasatan menyeluruh masih belum dapat dilaksanakan setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, hari ini.
Semalam, Kristine yang merupakan jurulatih kepada tiga penyelam lain yang masih hilang ditemukan selamat dan dibawa menaiki helikopter ke Stadium Mini Mersing pada pukul 12.05 tengah hari sebelum dirawat di Hospital Mersing.
Dia ditemukan pada kedudukan 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, kira-kira pukul 8.15 pagi.
Tiga lagi mangsa yang masih hilang ialah Alexia Alexandria, 18 (Perancis), Adrian Peter, 46, (Britain) dan anak lelakinya, Nathen Renze, 14 (Belanda).
Sementara itu, Cyril Edward menegaskan agar masyarakat tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau fakta tidak tepat berhubung kejadian terbabit kerana mengganggu proses pencarian serta emosi keluarga mangsa.
“Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku. Jika perkara itu dikesan sehingga ganggu siasatan, pihak polis akan ambil tindakan tegas dengan undang-undang sedia ada kepada sesiapa sahaja,” katanya. –UTUSAN ONLINE