TANJUNG MALIM: Seorang pekerja Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. terkejut apabila menjumpai janin bayi di loji kumbahan di Kota Malim Prima di sini pagi semalam.
Janin yang tidak diketahui jantina dan tidak cukup sifat itu ditemukan di atas besi penapisan sampah ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan pada pukul 10.20 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, janin yang masih bertali pusat itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam dan dipercayai dibuang melalui lubang tandas dan masuk ke loji berkenaan menerusi saluran kumbahan.
“Siasatan mendapati, janin berukuran kira-kira sembilan sentimeter itu berusia lingkungan 23 minggu dengan anggaran berat 130 gram dan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Ketua Polis Daerah Muallim, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dengan Deputi Superintenden Koo Tai Chew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Tai Chew yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim akan memangku jawatan tersebut berkuat kuasa semalam selepas Sulizmie Affendy dinaikkan pangkat daripada Superintenden kepada Asisten Komisioner.
Sulizmie Affendy yang bertugas di IPD Muallim hampir dua tahun itu akan memulakan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perisikan/Siasatan Khas) Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Mengulas lanjut Mior Farid berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, kawasan loji seluas 0.4 hektar itu dalam keadaan berpagar dan berkunci. Terdapat tangga ke bawah untuk ke tempat janin dijumpai.
Katanya, rakaman percakapan saksi pertama yang tiba di lokasi telah diambil di mana semakan sistem kumbahan dibuat ekoran terdapat aduan tersumbat.
“Sisa kumbahan loji tersebut berpunca dari beberapa taman perumahan dan perindustrian di Kota Malim Prima.
“Kes disiasat di bawah seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit,” katanya. – UTUSAN