TANAH MERAH: Jambatan Guillemard di Kusial Baru, di sini diuar-uarkan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong kerana rekodnya sebagai jambatan kereta api terpanjang dan kedua tertua di negara ini selepas Jambatan Victoria di Perak.
Namun, keadaan jambatan berusia 98 tahun dengan panjang 600 meter itu tidak sepadan dengan statusnya sebagai lokasi pelancongan kerana terbiar tanpa diberi nilai tambah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jambatan keluli merentasi Sungai Kelantan tersebut lengang tanpa pengunjung kecuali beberapa anak muda yang kebetulan singgah untuk melihatnya dengan lebih dekat.
Penuntut Jurusan Komunikasi dan Kewartawanan di Universiti Selangor (UniSel), Muhammad Hadi Solehim Salehudin, 22, berkata, dia yang berasal dari Rawang singgah bersama rakan-rakan untuk melihat lebih dekat tinggalan sejarah itu.
Dia kesal kerana mereka terpaksa melakukan ikhtiar sendiri dengan membuat carian di internet menggunakan telefon pintar masing-masing, ekoran tiada papan tanda atau maklumat sejarah disediakan di situ.
“Hari ini tidak ramai generasi muda seperti saya tahu tentang Jambatan Guillemard. Sayangnya tidak ada dokumentasi dan monumen disediakan di situ bagi memudahkan kami mendapatkan informasi,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, ahli Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (Pakat), Mohamed Sahidi Yusof, 58, berkata, Jambatan Guillemard dan Pekan Kusial Baru ‘mati’ selepas orang ramai memilih menggunakan Jambatan Paloh Rawa untuk merentasi Sungai Kelantan.
“Lokasi bersejarah ini ada dalam kalendar pelancongan negeri, namun terlalu kurang promosi oleh pihak berkuasa kecuali sebaran gambar pasangan pengantin baharu yang tular di media sosial sahaja.
“Jambatan ini sebenarnya hampir seusia Jambatan Sungai Kwai di Kanchanaburi, Thailand yang digelar landasan kereta api maut. Ketika jambatan itu menjadi aset pelancongan utama Thailand, Jambatan Guillemard pula terus terbiar sunyi sepi,” katanya.
Jambatan Guillemard bermula di Paloh Rawa, Machang dan berakhir di Kusial, Tanah Merah mula dibina pada 1920 dan siap sepenuhnya pada 1924.
Namanya adalah sempena Gabenor British, Sir Laurence Guillemard yang memberikan arahan supaya jambatan itu diletupkan bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai pada 12 Disember 1941 sebelum dibina semula dan dibuka pada 7 September 1948. –UTUSAN ONLINE