TANJUNG MALIM: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memilih 14 institusi pengajian tinggi awam termasuk politeknik bagi menganjurkan program Imarah Ramadan atau Imran dalam usaha mengeratkan hubungan antara organisasi itu dengan mahasiswa.
Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Rosni Sohar berkata, antara program diadakan adalah program memasak Bubur Lambuk Perdana yang membabitkan juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK).
“Program ini inisiatif tanggungjawab sosial korporat PTPTN yang diadakan sejak 2021 bagi bagi menjalin hubungan dengan masyarakat khasnya mahasiswa di institusi pengajian tinggi serta pengurusan mereka di seluruh negara,” katanya pada program Imran di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di sini semalam.
Sementara itu, sempena penganjuran Imran, mahasiswa UPSI bergotong-royong memasak bubur lambuk di kolej kediaman mereka seawal pukul 10 pagi.
Hasil gotong-royong itu sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk diedarkan kepada mahasiswa UPSI atau kira-kira 12,000 bekas untuk semua institusi pengajian.
Rosni berkata, memasak bubur lambuk secara gotong-royong secara tidak langsung dapat memupuk nilai murni dalam membentuk sahsiah mahasiswa universiti selain sasaran kecemerlangan akademik.
Sementara itu Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Md. Amin Md. Taff menganggap usaha pihak PTPTN ke kampus menjayakan Imran bersama mahasiswa dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal pelajar dan Alumni sebagai usaha yang baik dalam memahami peranan dan tanggungjawab PTPTN membantu mahasiswa menjayakan pengajian mereka selain membentuk nilai keinsanan dalam kalangan mahasiswa .
Hadir sama pada program itu Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Pengerusi Majlis Pengetua, Prof Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd. Izwan Shahril. – UTUSAN