KUANTAN: Rata-rata hotel dan resort sudah mula dikunjungi pelancong asing apabila negara mula membuka sempadan 1 April lalu sekali gus menjadi petanda industri pelancongan kembali rancak selepas dilanda pandemik Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Adena Beach Resort Balok, Vijay Sivaraj berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dimansuhkan, industri pelancongan di sini mula menunjukkan peningkatan sedikit-demi sedikit dan sekarang kembali ke rentak asal.
Menurutnya, peningkatan kedatangan pelancong tidak hanya tertumpu pada pelancong tempatan malah lebih menggembirakan mereka pelancong asing pun sudah mula membuat tempahan.
“Berdasarkan statistik kedatangan pelancong yang dilihat di resort kami, sejak dibenarkan merentas negeri, kedatangan pelancong menunjukkan peningkatan melebihi kadar frekuensi 70 peratus yang disasarkan.
“Di sini, kami sudah mula berjaya mencatatkan rekod kedatangan pelanggan sebanyak 75 peratus dan ia satu pencapaian yang baik apabila kita melihat hampir setiap hari resort ini didatangi pengunjung.
“Di bulan Ramadan pula, kita sudah menerima kunjungan pelancong dari luar negara dan kebanyakan mereka rakan-rakan warga asing yang bekerja di negara ini seperti yang terbaru pengunjung dari Kedutaan Belgium yang turut membawa ahli keluarga dan rakan-rakan dari negara mereka ke sini,” katanya di sini semalam.
Vijay dalam pada itu berkata, beliau melahirkan rasa keterujaan setelah hampir empat tahun resort di bawah syarikat Tago (Malaysia) Sdn. Bhd. itu kembali menyemarakkan lagi industri pelancongan.
Katanya, bagi memeriahkan aktiviti pelancongan di bulan Ramadan ini, pihaknya membuka ruang untuk pengunjung berbuka puasa di resort itu.
“Sebanyak 100 aneka juadah berbuka puasa berkonsepkan hidangan Pantai Timur dan juga kambing bakar istimewa yang bakal disediakan setiap hari untuk pelanggan pada kadar harga RM68 bagi dewasa dan RM55 bagi kanak-kanak.
“Bukan itu sahaja pengunjung juga berpeluang menginap di sini dengan harga RM298 sebilik yang turut disertakan hidangan berbuka dan bersahur,” katanya. –UTUSAN ONLINE