PETALING JAYA: Sempena hari pekerja, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak supaya kerajaan membuat perubahan yang drastik kepada sistem pekerjaan di Malaysia.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ini kerana negara masih lagi tidak meraktifikasi beberapa protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Katanya, terdapat protokol yang tidak sepenuhnya di ikuti seperti konvensyen 98 ‘hak untuk berkesatuan dan perjanjian bersama’.
“MTUC mahukan tindakan segera daripada Kerajaan untuk mewujudkan dasar setiap Syarikat di mestikan mempunyai kesatuan untuk mewakili pekerja.
“Pekerja boleh memilih untuk di wakili oleh kesatuan atau tidak. Perundingan Perjanjian Bersama tidak lagi melalui proses yang rumit dan panjang. Perundingan Perjanjian Bersama secara automatik di berikan kepada kedua-dua pihak untuk berunding,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu menghapuskan sistem kontrak bagi setiap pekerjaan kerana sistem itu adalah satu sistem yang zalim dan menafikan hak pekerja.
Katanya, ini kerana pekerja sentiasa berada dalam situasi kebimbangan samada kontrak di sambung atau sebaliknya sakli gus menjadikan perkembangan kerjaya tidak dapat di pastikan.
“MTUC tidak mahu status pekerjaan di jadikan ugutan kepada pekerja kontrak. Kerajaan perlu menghapuskan sistem perlantikan kontraktor dalam pekerjaan yang di perlukan secara berterusan seperti kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan, Golongan pekerjaan ini adalah golongan bawahan yang bekerja untuk kelangsungan kehidupan.
“MTUC mendesak kerajaan untuk mendengar permintaan daripada kaum pekerja. Kerajaan perlu ambil peduli tentang keluhan dan rintihan kaum pekerja. Kaum pekerja adalah pemacu ekonomi negara. Kaum pekerja yang akan mencorakkan warna politik negara. Kaum pekerja adalah nadi pembangunan dan kesabilan negara.
“Keterlibatan MTUC sebagai pusat buruh kebangsaan di dalam apa juga keputusan melibatkan kaum pekerja adalah kemestian bagi mengelakkan konflik antara kaum pekerja dan kerajaan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE