Elak Jalan Seremban-Kuala Pilah ke Pantai Timur - Utusan Malaysia

Elak Jalan Seremban-Kuala Pilah ke Pantai Timur

MOHD. Faizal Abdul Manap menunjukkan penghadang jalan bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak musim perayaan tahun ini di Jalan Seremban-Kuala Pilah ketika ditemui Utusan Malaysia berhampiran Ampang Tinggi, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Setiap kali perayaan Aidilfitri, Jalan Seremban-Kuala Pilah pasti menjadi tumpuan terutama kepada pengguna jalan raya yang menuju ke Pantai Timur.

Oleh itu, dijangkakan laluan berkenaan akan sesak bermula hujung minggu ini dengan kehadiran jumlah kenderaan yang meningkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, bagi mengelakkan mereka tersekat di dalam kesesakan, pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.

Beliau turut berharap supaya orang ramai memanfaatkan inisiatif tol percuma dan diskaun tol yang diberikan kerajaan dengan menggunakan lebuh raya berbanding melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah.

“Susulan pemberian tol percuma di beberapa lebuh raya turut memberi peluang orang ramai yang ingin ke Pantai Timur menggunakan laluan lebuh raya untuk pulang ke kampung pada tahun ini. 

“Jika boleh elakkan melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah ini kerana jalan agak kecil dan trafik tinggi. Selain itu, terdapat pelbagai pelbagai gerai di tepi dan bahu jalan yang boleh menyebabkan kesesakan ketika melalui jalan ini nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, orang ramai juga boleh melalui beberapa laluan alternatif lain untuk ke Pantai Timur antaranya ialah Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang-Muadzam Shah-Kuantan atau laluan Rembau-Bandar Baru Serting dan menuju ke Kuantan.

Sementara itu, Mohd. Faizal memberitahu,  Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah telah menetapkan beberapa strategi serta inisiatif pengurusan lalu lintas yang dilaksana bermula semalam sehingga 8 Mei ini di sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah.

“Pelaksanaan Pelan Pengurusan Lalu Lintas ini adalah bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sepanjang laluan ini. Antaranya adalah penutupan lampu isyarat daripada lampu isyarat persimpangan Ampang Tinggi hingga lampu isyarat di persimpangan hadapan Pasar Raya Giant.

“Penutupan lampu isyarat persimpangan Ampang Tinggi akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama yang ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan ‘U’ di persimpangan lampu isyarat di hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah kerana lorong menghala ke Seremban akan ditutup bagi melancarkan aliran trafik.

“Selain itu, adalah penutupan persimpangan masuk ke pekan Kuala Pilah iaitu Persimpangan Jalan Undang Johol–Jalan Perpateh dan Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol – Jalan Dato’ Abdul Manap. Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol–Jalan Ulu Muar akan dibuka dan hanya akan ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan pekan Kuala Pilah,” katanya.

Menurut Mohd. Faizal lagi, bagi pengguna jalan raya yang ingin memasuki kawasan Kuala Pilah dari arah Jempol, mereka perlu melalui lorong bersebelahan bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya