ALOR SETAR: Dokumen ‘PasLeak yang tersebar di media sosial baru-baru ini tidak memiliki elemen yang luar biasa hingga memerlukan semua pihak memperbesarkan isu tersebut.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penelitian terhadap dokumen berkenaan didapati tidak terdapat perancangan dibuat oleh golongan tertentu seperti digembar-gemburkan oleh beberapa pihak ketika ini.
Menurutnya, beliau difahamkan dokumen tersebut hanya merupakan catatan pertemuan beberapa pemimpin Pas dengan pihak lain untuk kegunaan parti itu.
“Saya tak tahu dokumen itu benar atau palsu tetapi apabila saya membacanya, bagi saya itu bukanlah sesuatu yang bersifat seperti perancangan. Saya teliti dokumen tersebut dan tiada apa yang terlalu luar biasa.
“Yang saya faham, dokumen PasLeak itu hanya mencatatkan siri pertemuan dalam usaha Pas melakukan pencarian fakta atau cuma memahami pandangan daripada tokoh pelbagai parti termasuk UMNO, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan sebagainya,” katanya.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini semalam.
Annuar menambah, catatan tersebut hanya memaparkan maklumat dari pertemuan-pertemuan yang diadakan pimpinan Pas, dengan perkara itu dianggap sebagai sesuatu yang lumrah bagi sebuah parti politik.
“Semua parti politik ada buat ‘engagement’ untuk meninjau serta menentukan strategi masing-masing. Jadi bagi saya itu bukan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Pada 22 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan tidak mengetahui mengenai kesahihan dokumen yang digelar PasLeak, yang dikatakan mendedahkan taktikal politik Perikatan Nasional (PN) merancang menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dokumen tersebut yang didakwa minit mesyuarat sebuah parti politik didakwa mendedahkan rancangan menjatuhkan UMNO dan BN sebelum PRU15. – UTUSAN