BUKIT MERTAJAM: Setiap kali menjelang bulan Ramadan atau sambutan hari raya, permintaan terhadap produk tauhu kering atau fucuk biasanya akan melebihi pengeluaran.
Ini kerana bahan itu sering dijadikan ramuan dalam penyediaan makanan termasuk sup sayur ketika bersahur atau berbuka puasa selain diperlukan sebagai bahan utama untuk penyediaan juadah popular iaitu lontong menjelang Aidilfitri.
Bagi seorang pengusaha fucuk bumiputera, Siti Aisyah Sulaiman, 35, kebiasaannya permintaan terhadap produk itu akan meningkat hingga tiga kali ganda dan dia menjangkakan jumlah tersebut mungkin akan lebih tinggi tahun ini.
Siti Aisyah yang meneruskan legasi perniagaan warisan keluarganya sejak hampir empat dekad lalu berkata, bagaimanapun pihaknya telah mengambil inisiatif untuk menyiapkan stok bagi produk tersebut lebih awal selepas menerima banyak tempahan terutama daripada pengedar kali ini.
Menurut beliau, secara umumnya permintaan yang tinggi terhadap fucuk menjelang Ramadan adalah perkara biasa kerana boleh dikatakan berlaku hampir setiap tahun termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas.
“Cuma, kenaikan harga bahan mentah khususnya soya yang diimport dari Kanada ini mungkin sedikit menyukarkan kami (untuk meningkatkan pengeluaran).
“Sepanjang PKP lalu, harga soya sudah pernah naik sekali dan dijangka naik sekali ganda lagi sebelum Ramadan iaitu daripada RM75 kepada RM200 seguni,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bekas jurutera yang mengusahakan sayur fucuk di bawah jenama Hasdey itu berkata, ketika ini syarikat tersebut mampu menghasilkan sehingga 4,000 pek fucuk dalam sehari dan memasarkan produk itu hampir ke seluruh negara.
Katanya, selain menghasilkan fucuk, mereka turut menjual bahan buangan kilang seperti hampas soya dan serpihan sayur fucuk untuk dijadikan makanan ternakan.
“Cabaran untuk kekal sebagai satu-satunya pengeluar fucuk bumiputera dalam kapasiti besar di Malaysia pada masa ini sangat tinggi.
“Bagaimanapun, kami akan cuba untuk terus bertahan dan menganggap usaha kami ini juga sebagai sebahagian daripada fardu kifayah (perkara yang wajib dilakukan demi menjaga kepentingan umat Islam), insya-Allah,” katanya. –UTUSAN ONLINE