MELAKA: Cukai tanah tertunggak di Melaka berjumlah RM72 juta melibatkan kelompongan bayaran oleh pemilik yang tidak membayar pada masa ditetapkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, meskipun tunggakan itu melibatkan jumlah yang besar, namun ia masih belum sampai ke tahap perlunya tindakan merampas tanah.
Menurut beliau, setiap tahun kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk mendapat sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah yang tertunggak.
“Perkara ini akan maintain (kekal) begitu. Dia (pemilik) bayar (cukai tanah) yang ini, yang lain dia tidak bayar. Kalau dia bayar untuk 10 tahun dulu tapi dua tahun sebelum itu dia tak bayar lagi.
“Kita belum sampai ke tahap merampas tanah. Sebab itu kita beri diskaun untuk menggalakkan pemilik membayar cukai,” katanya dalam sidang akhbar pasca Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini hari ini.
Tambah Sulaiman, kerajaan negeri menggalakkan penggunaan JomPAY sebagai medium pembayaran cukai tanah di negeri ini.
Katanya, orang awam boleh membuat transaksi pembayaran secara dalam talian menerusi pilihan 42 buah bank yang disediakan.
“Caj perkhidmatan JomPAY sebanyak 40 sen bagi setiap transaksi akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Tanggungan ini melibatkan 360,000 pemilik tanah dan 40,000 pemilik strata.
“Sebanyak 11,000 transaksi JomPAY telah diterima setakat 31 Mac lalu dengan nilai hasil sebanyak RM1.5 juta. Bank kerjasama iaitu AmBank akan memberikan cabutan bertuah kepada pengguna JomPAY yang bernilai RM10,000.
“Diharapkan usaha ini dapat membantu pembayar-pembayar cukai tanah dan petak menunaikan tanggungjawab mereka di samping promosi diskaun 10 peratus yang masih berjalan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE