KANGAR : Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk udang lipan yang diagihkan sempena program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di Dewan Orang Ramai, Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam.
Program yang berlangsung meriah itu dianjurkan pengeluar beras, Era Foods MY (Beras Era) dan syarikat Media Mulia Sdn. Bhd.
Menu istimewa yang cukup sinonim di Kuala Perlis itu dimasak dengan udang lipan yang mudah diperoleh di perkampungan nelayan tersebut.
Pengurus Jenama Beras Era, Nurazumy Najid berkata, sebanyak 1,000 pek cenderamata mengandungi bubur lambuk udang lipan dan beras Era Sultan Basmathi seberat 400 gram diedarkan kepada penduduk setempat.
Katanya, Perlis dipilih menjadi negeri pertama untuk program tersebut yang turut diadakan di Kuala Terengganu pada 13 April, Kuala Lumpur (20 April) dan Johor Bahru (27 April).
“Sebanyak 300 kilogram ataupun 30 paket beras jenis Era Nagasari Super Spesial Tempatan seberat 10 kilogram telah disumbangkan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengah yang digunakan untuk memasak bubur lambuk seterusnya diedarkan kepada penduduk setempat dan orang ramai.
“Kami mengambil peluang sempena bulan Ramadan ini untuk bersedekah kembali kepada komuniti di samping memperkenalkan jenama beras Era kepada orang ramai.
“Lokasi Kuala Perlis ini dipilih kerana penduduk mempunyai resipi bubur lambuk yang unik dan tidak ada di tempat lain. Kawasan ini yang berhampiran laut menyebabkan penduduk senang mendapatkan sumber laut yang segar,” katanya.
Sementara itu, Bendahari KRT Kampung Tengah, Yazly Yahya berkata, penduduk mula memasak bubur lambuk tersebut atau lebih dikenali sebagai ‘kanji udang lipan’ sejak pukul 2 petang.
Menurutnya, sebanyak tiga periuk besar dan 30 kilogram beras yang disumbangkan oleh Beras Era dimasak semasa program itu dan mula diedarkan kira-kira pukul 4.30 petang.
“Bubur lambuk ini adalah resipi tradisi penduduk Kuala Perlis yang menggunakan bahan utama seperti udang lipan serta bahan-bahan lain seperti, bawang putih, bawang merah, halia dan lada.
“Selain itu, kita juga menggunakan santan dalam menu tersebut yang akan membangkitkan lagi rasanya yang berlemak dan juga manis daripada rasa udang.
“Selain Kuala Perlis, penduduk luar juga sering datang bagi mendapatkan bubur lampuk ini,” katanya.
Tambah Yazly, dia berterima kasih atas sumbangan beras tersebut dan keperluan itu juga akan diserahkan kepada Masjid Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Seberang Ramai untuk menghasilkan bubur lambuk selepas ini. – UTUSAN