HULU TERENGGANU: Walaupun sudah dua minggu sesi persekolahan 2022 bermula, namun, majoriti murid Orang Asli suku Semaq Beri di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di sini masih tidak berpakaian seragam.
Guru Besarnya, Zaidi A. Ghani berkata, keadaan itu kerana pakaian kebanyakan mereka yang sudah ketat dan lusuh.
“Selain ke sekolah, baju seragam turut digunakan murid untuk aktiviti seharian mereka hingga lusuh.
“Dua tahun lalu, 70 murid Orang Asli di sekolah ini menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada beberapa pihak dan kita bersyukur kerana sekali lagi bantuan sama diberikan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bantuan kelengkapan sekolah itu disumbangkan Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abbas (Al-Adha), Kuala Nerus dengan kerjasama Pejabat Parlimen Hulu Terengganu.
Sumbangan itu termasuk sepasang pakaian di samping kasut dan stokin. –UTUSAN ONLINE