ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengagihkan wang zakat berjumlah RM11.7 juta kepada empat golongan asnaf yang layak menerima zakat fitrah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pengagihan wang tersebut bersamaan dengan jumlah kutipan zakat fitrah yang disasarkan untuk dikutip tahun ini.
Menurutnya, langkah tersebut turut mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Pengagihan wang tersebut telah diselesaikan sepenuhnya pada 25 April lalu membabitkan empat golongan asnaf iaitu fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.
“Kita mendahulukan pemberian ini bagi membolehkan golongan terlibat dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan lebih selesa.
“Bagi golongan fakir dan miskin terdiri daripada penerima bantuan bulanan LZNK, setiap keluarga diberikan sebanyak RM500 manakala mualaf yang memeluk Islam kurang dari lima tahun diberikan RM1,000 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Agihan Ayam Segar Kepada Fakir dan Miskin LZNK di Masjid Ar-Rahman, Alor Merah, Jalan Anak Bukit di sini hari ini.
Majlis itu merupakan simbolik kepada pengagihan 7,400 ekor ayam kepada 3,700 penerima terdiri daripada golongan fakir dan miskin di empat daerah dalam negeri ini iaitu di Kubang Pasu, Kuala Muda, Yan serta Kota Setar sejak 25 April lalu.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya percaya sasaran kutipan zakat sebanyak RM11.7 juta itu mampu dicapai bersandarkan trend peningkatan pembayaran zakat yang tidak pernah menurun sebelum ini.
Menurutnya, ketika ini, pembayaran secara dalam talian turut mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih RM2 juta telah berjaya dikutip.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini, kita turut memperkenalkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM14 dan RM21. Alhamdulillah, nampaknya jumlah mereka yang membuat bayaran pada kadar RM21 tampak bertambah mendadak.
“Selain itu, kutipan turut dibuat menerusi 3,200 amil di seluruh negeri. Kebiasaannya penduduk di kampung-kampung banyak membayar zakat fitrah pada malam raya atau pagi raya,” katanya. –UTUSAN ONLINE