ALOR SETAR: Lebih 5,000 kakitangan awam di negeri ini bakal menerima bantuan khas Aidilfitri bernilai RM1,000 setiap seorang pada 28 April ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan untuk meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri tersebut dibuat menerusi mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikannya, hari ini.
“Kelulusan ini melibatkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan membabitkan peruntukan sebanyak RM5.35 juta,” ketika dihubungi di sini, hari ini.
Selain itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini turut meluluskan bantuan khas hari raya kepada pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini.
“Bantuan khas hari raya itu yang melibatkan 2,050 penerima dengan peruntukan RM307,500 pula akan dibayar pada minggu keempat April ini.
“Bantuan tersebut akan disalurkan melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing,” katanya. –UTUSAN ONLINE