JOHOR BAHRU: Syarikat peneraju hartanah dalam Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Johor Land Berhad (JLand) telah berjaya membina 488 unit Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Bandar Dato’ Onn di sini.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewakili Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci perumahan tersebut kepada pembeli hari ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, JCorp melalui anak syarikatnya itu menyambut baik inisiatif Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang bersama-sama merancang, membangun dan merealisasikan dua pembangunan RIBJ di Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee.
Beliau berkata, setakat ini, JLand telah menyiapkan 808 unit rumah mampu milik bagi kedua-dua projek itu dengan keluasan pembangunan hampir 59 ekar di bawah skim RIBJ.
“JCorp komited untuk terus menyumbang kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan perumahan sama ada oleh YSIJ mahupun kerajaan negeri dengan membina kediaman yang berkualiti, mampu milik serta meningkatkan kadar pemilikan rumah oleh rakyat Johor.
“Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang dilaksanakan oleh JLand untuk projek RIBJ ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci RIBJ Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Projek RIBJ Bandar Dato’ Onn terletak di lokasi strategik seluas 51.92 ekar merangkumi empat jenis rumah bertanah berkeluasan dari 1,181 hingga 1,262 kaki persegi dengan harga di antara RM85,000 hingga RM100,000 seunit.
Kesemua unit rumah di RIBJ Bandar Dato’ Onn turut dilengkapi dengan kemudahan seperti hab memasak, penghawa dingin, televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan periuk nasi.
Syed Mohamed berkata, dengan pelaksanaan perancangan strategik YSIJ, JLand telah berjaya menyokong penyediaan dan pembinaan perumahan mampu milik yang unik dan berprestij ini sekali gus meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Ini merupakan sebahagian daripada mandat kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan meneruskan jalinan kerjasama erat dengan YSIJ dan kerajaan negeri untuk membina dan menyerahkan lebih banyak kediaman dalam segmen seumpamanya di seluruh Johor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan JLand, Datuk Akmal Ahmad berkata, pembinaan RIBJ ini seiring dengan matlamat JLand iaitu ‘Membina Masyarakat Mampan Dengan Penuh Iltizam’.
Katanya, perumahan RIBJ ini merupakan kediaman berkualiti tinggi, berfungsi sepenuhnya, direka dengan teliti, selesa dan mudah diakses.
“Di saat JLand meraikan pencapaian mengagumkan selama 50 tahun, kejayaan projek ini amat dibanggakan kerana menyumbang kepada perubahan landskap perumahan di dalam daerah Johor Bahru.
“Kita mahu ia menjadi lokasi kediaman utama yang bukan sahaja bakal mencipta dan mengekalkan ekonomi tempatan malah turut menambah baik kualiti kehidupan penduduk, sekaligus membina masyarakat yang sihat, berkembang maju dan lestari,” katanya. –UTUSAN ONLINE