SHAH ALAM: Bantuan kepada mangsa banjir yang berlaku pada 17 Disember lalu seperti Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dijangka selesai sepenuhnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Ini kerana terdapat seramai 4,825 keluarga masih belum menerima bantuan tersebut yang merangkumi daerah seperti Klang (4,179), Kuala Langat (292), Sepang (189), Petaling (162) dan Gombak (2).
Difahamkan sehingga kini kesemua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) terlibat giat mengesan mangsa berkenaan yang tidak dapat bantuan lebih awal kerana terdapat kesilapan pada borang permohonan seperti nombor telefon dan alamat rumah.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin negeri, Ganabatirau Veraman, permohonan rayuan dibuka selepas hampir 60,000 mangsa banjir menerima bayaran RM2,000 daripada BSB dan BWI pada awal bulan lepas.
“Segala rayuan ditutup pada Khamis, 31 Mac lalu dan permohonan yang lulus akan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum atau pada akhir bulan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, PDT Klang dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 500 lagi keluarga menerima bantuan tersebut pada Jumaat lalu di dewan serbaguna pejabat berkenaan.
“PDT Klang juga sedang giat memproses bantuan BSB berperingkat secara perbankan Internet melalui pindahan EFT (Electronic Fund Transfer). Diminta keluarga yang memberi maklumat perbankan sebelum ini untuk mengemas kini penyata bank,” jelasnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan berlaku pertindihan dalam permohonan selain kesilapan pada maklumat diberikan menyebabkan kelewatan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 Mac lalu memaklumkan kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM118.25 juta bagi membantu lebih 100,000 keluarga mangsa bah besar itu.
Namun, beliau memohon sokongan tambahan diperlukan sebanyak RM150 juta lagi bagi melaksanakan inisiatif BSB sebelum perbekalan tersebut diluluskan di DUN pada 18 Mac lalu. –UTUSAN ONLINE