PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan kira-kira 20 kekosongan ketua perwakilan Malaysia di seluruh dunia yang belum diisi setakat ini.
Justeru, beliau menyangkal laporan tular di media sosial kononnya lebih 100 kekosongan jawatan itu terbiar yang menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dan negara tuan rumah.
“Setakat ini yang memang tiada ketua perwakilan Malaysia atau Malawakil hanya sekitar 20 tempat namun ia bakal diisi segera setelah melalui pelbagai proses tapisan ketat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman pelantikan 13 ahli Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, Majlis Belia Malaysia.
Turut hadir ialah presiden badan induk organisasi tersebut, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid yang baru dipilih secara rasmi pada awal bulan lepas serta bekas penyandangnya, Jufitri Joha.
Isu kekosongan ketua Malawakil meraih perhatian warganet ekoran kecoh kes Duta Besar ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil balik ke tanah air.
Ia susulan kegagalan dua pegawai tersebut menyelaraskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu pada akhir bulan lalu terutama protokol keselamatan.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, Malaysia ketika ini mempunyai 107 jawatan ketua Malawakil sama ada duta atau pun pesuruhjaya tinggi bagi negara anggota Komanwel.
Jawatan tersebut turut melibatkan konsul jeneral di bandar-bandar besar negara tertentu yang banyak dikunjungi warga Malaysia bagi pelbagai urusan seperti di China, India dan Indonesia.
“Namun, sebenarnya tiada isu besar jika negara itu belum ada ketua Malawakil kerana tugas ini diurus oleh Kuasa Usaha Sementara yang juga diplomat kanan berpengalaman,” katanya.
Beliau memberi contoh ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 bulan sebagai perdana menteri buat kali kedua apabila tiada Duta Besar Malaysia di Beijing, China.
Sebaliknya, peranan itu berjaya dilakukan dengan cemerlang oleh Kuasa Usaha Sementara yang dari segi perundangan antarabangsa, masih memiliki taraf seumpama ketua di kedutaan.
Saifuddin turut memaklumkan antara negara yang belum lagi diisi jawatan ketua Malawakil ketika ini ialah Amerika Syarikat, Arab Saudi, Jepun, Jerman dan Indonesia.
Kekosongan itu ujarnya, banyak disebabkan faktor usia persaraan dan sekatan pergerakan kerana isu Covid-19 tetapi beliau memberi jaminan isu berkenaan sedang diatasi dengan segera.
Malahan katanya, pada masa sama, bakal calon untuk jawatan itu juga akan disaring ketat bagi memastikan mereka mampu menggalas tugas terutama hubungan diplomatik negara. – UTUSAN
20 kekosongan jawatan duta bakal diisi
- Oleh AMREE AHMAD
- 18 April 2022, 6:40 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Trump selar LGBTQ, dasar rasmi AS hanya ada dua jantina
24 Disember 2024, 9:00 am
Perokok rancak, tidak endah larangan
24 Disember 2024, 8:15 am
Penyiasat PBB yakin bukti cukup dakwa rejim Bashar
24 Disember 2024, 8:05 am