PARIT BUNTAR: Seramai 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 134 etnik Rohingya ditahan di perairan laut Kuala Kurau, Kerian di sini hari ini.
Kesemua warga asing termasuk empat lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki Myanmar itu ditahan selepas bot dinaiki mereka tersangkut pada beting pasir di perairan berkenaan.
Difahamkan, ada di antara warga asing itu cuba meloloskan diri dengan terjun ke dalam laut dan berenang kira-kira 200 meter ke darat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, warga asing berusia antara lima tahun hingga 40-an itu ditahan antara pukul 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Katanya, mereka yang ditahan membabitkan 66 lelaki dan 59 wanita serta kanak-kanak lelaki dan perempuan, masing-masing sembilan orang.
“Kesemua warga asing itu ditangkap di Beting Kalumpang iaitu jarak enam batu nautika di perairan laut Kuala Kurau.
“Mereka didapati datang dari Myanmar dan berada di perairan berkenaan setelah bot dinaiki mereka tersangkut pada beting pasir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, semasa pemeriksaan ke atas bot, seramai 87 orang berada di dalam bot manakala selebihnya telah melarikan diri dengan berenang ke darat.
“Kesemua mereka bagaimanapun berjaya ditangkap,” katanya. –UTUSAN ONLINE