PETALING JAYA: Hampir 10,000 pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melibatkan tenaga kerja pelbagai peringkat di sektor kritikal rantaian perkhidmatannya di Semenanjung bertugas pada musim perayaan kali ini demi memastikan kestabilan bekalan elektrik.
Penugasan secara giliran dan tunggu sedia itu merangkumi stesen jana kuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pemantauan di setiap negeri juga ditingkatkan menjelang Aidilfitri dengan jangkaan orang ramai pulang lebih awal ke kampung halaman untuk berhari raya.
“Tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal dengan jangkaan penggunaan tenaga elektrik meningkat berikutan orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri diikuti pelbagai aktiviti sambutan dua hari berikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Baharin menambah, sebanyak 9,900 pek kuih raya disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) bagi menghargai pekerja yang bertugas pada hari raya. –UTUSAN ONLINE