UTM, 3D Gens hasilkan kaki palsu evolusi baharu - Utusan Malaysia

UTM, 3D Gens hasilkan kaki palsu evolusi baharu

KAKITANGAN UTM memakaikan kaki palsu yang dihasilkan dengan kerjasama 3D Gens kepada penerima, Muhammad Sabri Ramli di Fakulti Kejuruteraan UTM Kampus Johor Bahru, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasil penyelidikan, penghasilan produk inovasi dan kepakaran bidang kejuruteraan bioperubatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pihak industri, 3D Gens Sdn. Bhd. membawa evolusi baharu dalam teknologi pembuatan kaki palsu tiga dimensi (3D).

Kepakaran kumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan UTM itu secara tidak langsung telah membangunkan produk inovasi yang berdaya saing.

Menurut Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Dr. Muhammad Hanif Ramlee, inovasi baharu yang menggunakan teknologi imbasan, rekaan dan cetakan 3D dapat memberikan keselesaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU). 

Beliau berkata, penghasilan inovasi yang menggunakan teknologi 3D itu menawarkan harga mampu milik kepada pengguna apabila material yang digunakan adalah lebih murah dan berdaya tahan. 

“Kos tersebut boleh dikurangkan sehingga 60 peratus berbanding harga pasaran kira-kira RM5,000 sekali gus mampu memberikan satu sinar baharu kepada golongan OKU yang berdepan kekangan kewangan.

“Inovasi kaki palsu cetakan 3D ini boleh digunapakai oleh golongan OKU untuk menjalankan aktiviti harian seperti berjalan, duduk dan bangun, menaiki tangga, menaiki kenderaan awam dan memandu kenderaan persendirian.

“Produk inovasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan OKU yang tiada kaki di paras bawah lutut sama ada dilahirkan tiada kaki atau kehilangan kaki kerana kemalangan dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kaki Palsu 3D sempena tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada dua orang penerima OKU di V01, Fakulti Kejuruteraan UTM Kampus Johor Bahru, di sini hari ini. 

Penghasilan sebuah kaki palsu itu yang melalui proses teknologi imbasan, rekaan dan cetakan 3D mengambil masa sebulan tidak termasuk fasa percubaan dan ujian kepada pemakai untuk memastikan soket itu betul-betul muat pada kaki pesakit. 

Bagi proses penyediaan soket kaki palsu pula, Muhammad Hanif berkata, ia adalah dalam pelbagai bentuk mengikut jenis kecacatan dan juga kehendak pengguna dengan imbasan 3D dilakukan pada bahagian kecacatan tanpa sentuhan. 

“Ia menjimatkan masa, tenaga, bahan-bahan dan kos-kos lain dalam pembuatan soket kaki. Setelah itu, lukisan reka bentuk 3D dijalankan di makmal UTM dan proses cetakan 3D akan dibuat oleh 3D Gens. Selepas selesai pembuatan soket, kesemua bahagian akan disambungkan untuk menjadikan satu kaki palsu yang lengkap. 

“Padanan terhadap kaki OKU serta aktiviti latihan di makmal Motion Analysis akan dijalankan terlebih dahulu sebelum dapat diserahkan sepenuhnya kepada penerima,” katanya.

Beliau berkata, bagi setiap kaki palsu yang diterima, jangka hayat dari segi ketahanan soket adalah antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada reka bentuk inovasi tersebut dan cara penggunaan penerima manakala bahagian lain seperti pilon, adapter dan kaki mampu bertahan sehingga tujuh tahun. 

“Soket cetakan 3D tersebut boleh ditukar mengikut kehendak, warna dan ketahanan tanpa perlu menukar bahagian yang lain,” tambahnya. 

Tambahnya, pihaknya akan meneruskan projek CSR itu menggunakan dana yang diterima daripada pelbagai pihak untuk memberi harapan kepada OKU yang memerlukan khususnya golongan B40 selain akan menubuhkan tabung crowdfunding bagi memperluas manfaat tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya