Tukar saat akhir tak bermakna calon tidak diterima – Hasni

Tukar saat akhir tak bermakna calon tidak diterima – Hasni

Hasni Mohammad menyampaikan trofi kepada seorang peserta sempena perasmian Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan AIM Wilayah Johor di Senai, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Pertukaran calon pada saat akhir selepas majlis pengumuman rasmi tidak bererti individu berkenaan tidak diterima atau tidak layak bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, keputusan itu dibuat atas dasar kesesuaian calon yang di­letakkan mengikut kriteria dan komponen utama bagi meraih kemenangan pada 12 Mac ini.

“(Pertukaran calon) ia tidak bererti bahawa perubahan itu sebagai kaedah atau mendapati calon berkenaan tidak sesuai, ia bukan begitu.

“Ini kerana kita mahu menggunakan pendekatan representasi wanita yang tinggi dan representasi orang muda yang sewajarnya, selain meletakkan kelulusan akademik sebagai komponen penting (pemilihan calon),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan UMNO sebagai komponen BN mengumumkan pertukaran calon selepas pengumuman dibuat yang menyaksikan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat ditukar.

Pertukaran itu melibatkan calon awal DUN Tanjung Surat yang juga penyandang kerusi, Datuk Syed Sis Abd. Rahman yang digantikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin manakala Selamat Takin menggantikan Mohd. Helmi Abd. Latif di DUN Sungai Balang.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pertukaran calon itu adalah perkara biasa, malah turut dilakukan oleh rakan-rakan parti komponen BN.

“Pertukaran saat akhir itu dibuat atas semangat BN, kita lihat parti-parti seperti MCA juga mengubah senarainya dan MIC turut berbuat demikian. Sudah tentu UMNO perlu membuat penyesuaian apabila kita mahu memuktamadkan pengagihan kerusi dalam BN,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada berlaku penolakan soko­ngan daripada jentera selepas proses penamaan calon selesai, Hasni hanya memaklumkan bahawa jentera parti masih belum berfungsi dengan sepenuhnya.

“Saya tidak nafikan bahawa jentera BN masih belum 100 pe­ratus beroperasi dan pe­ngalaman mengajar kita bahawa jentera di sepanjang tempoh kempen ini sentiasa menggunakan kaedah mendekati pengundi secara beperingkat.

“Kita membuat kajian di lapangan untuk menambah baik lagi pendekatan jentera BN dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Menteri Besar memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa menegaskan kepada kerajaan Persekutuan untuk bersiap sedia melangkah ke fasa endemik secepat mungkin bagi membolehkan usaha pembukaan sempadan Malaysia-Singapura diperluaskan.

Beliau berkata, perkara itu mengambil kira faktor jumlah peratusan individu yang mendapatkan dos penggalak sema­kin meningkat ketika ini.

Melihatkan perkembangan positif itu, Hasni berkata, kerajaan perlu mempertimbang kuota pengembara antara ke­dua-dua negara melalui inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat ditambah.

“Saya mendapat petunjuk daripada kerajaan Persekutuan bahawa bilangan jumlah pengembara yang menggunakan VTL darat sedang dikaji dari semasa ke semasa. Ia adalah usaha berterusan secara bersama antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Singapura bagi menambah bila­ngan pengembara menggunakan inisiatif tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya