SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak boleh memaksa murid sekolah di negeri itu mengambil vaksin Covid-19 meskipun persekolahan penggal pertama bagi sesi 2022/2023 bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pemberian vaksin tersebut kepada kumpulan itu hanya boleh dilakukan sekiranya mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka.
“Memang cadangan Yang Berhormat (Ahmad Yunus) supaya kerajaan negeri memberi vaksin kepada seramai mungkin murid sekolah itu, baik.
“Tetapi untuk memberi vaksin, ibu bapa mereka perlu memberi kebenaran sebelum kita boleh berbuat demikian,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2022 di Dewan Annex, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri supaya lebih ramai murid sekolah dapat divaksinasi.
Siti Mariah menjelaskan, kerajaan negeri hanya boleh melakukan kempen kesedaran kepentingan vaksinasi kepada masyarakat sebagai salah satu usaha bagi kumpulan tersebut dapat menerima vaksin Covid-19.
“Kita juga akan mulakan program Selangor Vaksin untuk kanak-kanak (Selvax Kids) 1 April ini dan harap lebih ramai kumpulan itu akan mengambil vaksin.
“Sehingga 1 Mac lalu, seramai 167,338 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) di Selangor,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE