Teresa Kok didakwa ugut polis, tuduh BN buli DAP - Utusan Malaysia

Teresa Kok didakwa ugut polis, tuduh BN buli DAP

MIKE Chong Yew Chuan dalam sidang akhbar secara dalam talian berkaitan ugutan Teresa Kok terhadap polis di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan menyatakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah mengeluarkan dakwaan mengugut anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Yew Chuan berkata, Teresa didakwa membuat ugutan itu ketika berucap dalam bahasa Mandarin pada malam selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 26 Februari lalu.

Menurut beliau, selain didengari hadirin yang berada di lokasi ceramah berkenaan, ia turut boleh diikuti melalui siaran secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial.

“Teresa Kok dengan jelas menyatakan ‘anda (polis) tahulah nanti bila kami (DAP) jadi kerajaan’. Ucapan berbaur ugutan dalam bahasa Mandarin itu ditujukan terhadap anggota polis yang sedang bertugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam pada malam kejadian,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, di sini hari ini.

Difahamkan, pihak polis juga sedang melakukan siasatan berhubung kenyataan ugutan tersebut setelah ia tular dan mendapat perhatian orang ramai.

Tambah Yew Chuan, Teresa jelas mengugut pihak polis dengan menggunakan alasan penganjuran tarian singa bagi menyambut kehadiran seorang pemimpin MCA sebagai punca kelewatan program anjuran DAP di kawasan berhampiran.

“Semalam, beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa Barisan Nasional (BN) membuli Pakatan Harapan (PH) dan menuduh persembahan tarian singa anjuran penyokong BN sebagai punca ceramah DAP berlangsung lewat 30 minit.

“Saya ingin menjelaskan, persembahan tarian singa itu adalah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyambut kehadiran tetamu jemputan iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan tetamu lain. 

“Majlis makan malam tersebut bukanlah anjuran MCA, jadi, tuduhan Teresa bahawa BN membuli DAP adalah tidak berasas,” ujarnya sambil memberitahu penganjuran tarian singa berkenaan telah mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Menurut beliau lagi, pemimpin DAP itu perlu bersedia mengambil tanggungjawab selepas melakukan perbuatan mengugut anggota polis dan bukan menyalahkan pihak lain atas tindakannya itu.

“DAP tidak boleh mengalih perhatian orang ramai dengan membuat pelbagai alasan demi menegakkan benang yang basah. Sekiranya mereka berani ugut polis, maka mereka juga perlu berani bertanggungjawab, bukannya lepas tangan dan menyalahkan orang lain,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya