KUALA TERENGGANU: Tradisi berbuka puasa di kawasan lapang termasuk di padang sekitar jambatan angkat atau drawbridge di sini kembali dibenarkan pada Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, orang ramai diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.
Katanya, pemantauan berterusan akan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan petugas kesihatan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP termasuk berkaitan penjarakan fizikal.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak membuang sampah dan sisa makanan merata-rata hingga mencemarkan kebersihan kawasan lapang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Aktiviti berbuka puasa di sekitar padang drawbridge dan Pantai Batu Buruk merupakan tradisi umat Islam di negeri ini setiap kali Ramadan.
Saban tahun, ratusan orang memenuhi kawasan berkenaan untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan selepas membeli juadah di bazar-bazar Ramadan berdekatan.
Dalam perkembangan sama, Alias berkata, pengunjung berusia bawah 12 tahun tidak digalakkan dibawa ke mana-mana bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan golongan kanak-kanak. – UTUSAN