KOTA TINGGI: Tindakan tembak mati haiwan liar menggunakan peluru hidup adalah langkah terakhir Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) setelah mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan dan ancaman manusia.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, buat masa ini, langkah yang terbaik diambil adalah dengan memasang perangkap misalnya situasi di dalam hutan.
“Tembak mati ini yang memang dibenarkan merupakanlangkah terakhir kita. Kalau haiwan nak menyerang, kita dibenarkan untuk tembak. Langkah yang terakhir ini akan dibuat setelah semua aspek diambil kira.
“Selebihnya kita akan guna perangkap dan juga bekerjasama dengan penduduk setempat setelah mendapat khidmat nasihat daripada pihak berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Desaru hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Razarudin Husin dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Abdullah Jaafar.
Terdahulu, Perhilitan Kelantan menembak mati seekor harimau belang yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai pada Jumaat.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tembakan itu terpaksa dilepaskan berikutan haiwan berkenaan telah bertindak meluru ke arah pasukan berkenaan semasa proses tangkapan sedang dijalankan.
Abdul Kadir berkata, pihak Perhilitan memang ada dibekalkan peluru pelali dan peluru hidup untuk menangani isu hidupan liar, namun, peluru pelali lebih sesuai digunakan bagi haiwan yang berada di kawasan zoo berbanding di hutan.
“Penggunaan peluru pelali mengakibatkan haiwan itu 90 peratus mati kerana selepas ditembak, ia tidak terus pengsan, sebaliknya akan terkejut dan akan berlari sehingga sampai 10 minit yang kemudian baru ubat pelali itu berkesan.
“Kalau ia jatuh dalam sungai akan mati lemas. Contoh kalau harimau dalam tempoh 10 minit ia boleh lari sampai 300 hingga 400 meter. Dalam zoo, kalau kita tembak, kita masih boleh pantau, tetapi, di dalam hutan kita tak tahu haiwan itu lari ke mana,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kadir berkata, pada tahun ini, sebanyak dua siri operasi rondaan di lapangan telah berjaya dilaksanakan dengan 11 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan nilai rampasan RM54,000.
Katanya dalam tempoh sama, sebanyak 19 jerat hidupan liar juga telah dimusnahkan, selain 14 khemah warga asing dikesan di kawasan hutan simpan dan taman negara.
“Sebanyak empat kesan takikan dan tebangan pokok karas serta 158 kesan-kesan lain pemburuan dan pencerobohan telah berjaya direkodkan.
“Seramai 19 orang pesalah juga telah ditahan melibatkan 18 warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia,” katanya. –UTUSAN ONLINE