PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses mengenal pasti beberapa dokumen dan saksi-saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan polis berkenaan dakwaan itu telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan lanjut.
Namun, arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara kepada PDRM agar mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat.
“Kita masih menunggu maklum balas daripada negara terlibat.
“Setakat ini, masih menunggu lampu hijau daripada negara terlibat untuk mengambil keterangan saksi-saksi dan dokumen yang diperlukan,“ katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kata Mohd. Kamarudin, pihaknya telah beberapa kali berhubung dengan negara terlibat namun masih tiada maklum balas diterima.
“Perkara ini melibatkan keterangan saksi dan dokumen. Jadi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya pergi dan memerlukan bantuan mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.
Beliau antara lain menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.
Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang merupakan bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, semalam.
Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah melibatkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi – 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.
Siasatan ke atas Tawfiq itu dilapor dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakamkan, pada April tahun lalu. –UTUSAN ONLINE