PUTRAJAYA: Siasatan awal Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menunjukkan pesawat ringan model Diamond DA-40D hilang kawalan sebelum tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi malam tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo, ia sepatutnya menjalani sesi latihan penerbangan malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebelum terbabas di landasan pukul 8.04 malam
“Kapal terbang malang itu dikenal pasti dari jenis ringan model Diamond DA-40D dengan nombor pendaftaran 9M-HMW,” katanya menerusi kenyataan.
Media tempatan lewat malam tadi melaporkan insiden itu melibatkan seorang juruterbang pelatih wanita yang berusia 28 tahun dengan kecederaan di pinggang dan lutut kedua-dua kaki.
Mangsa bagaimanapun telah berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba lapangan terbang berkenaan sebelum segera dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di Kuah bagi diberikan rawatan.
Insiden tersebut juga mengakibatkan dua penerbangan domestik ke Kuala Lumpur dekat sini perlu ditangguhkan beberapa jam ekoran landasan ditutup untuk kerja pembersihan dilakukan.
Mengulas lanjut, Chester berkata, siasatan awal CAAM menunjukkan pesawat yang dikendalikan HM Aerospace Sdn. Bhd. itu hilang kawalan ketika pendaratan dan tergelincir di landasan.
“Juruterbang dilaporkan sedang menerima bantuan perubatan dan berada dalam keadaan stabil namun kemalangan tersebut menyebabkan kerosakan pada struktur pesawat itu,” katanya.
Kapal terbang berkenaan ujarnya, telah dialihkan pada pukul 10.25 malam bagi memastikan keselamatan operasi landasan dan dibuka kepada penerbangan komersial seminit kemudian.
Proses penyiasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Lapangan terbang itu yang diuruskan Malaysia Airports Holdings Berhad, terletak di Padang Mat Sirat dan mula dibuka pada 1994 dengan keupayaan empat juta penumpang setahun. – UTUSAN