KUALA LANGAT: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah pembinaan sekolah yang tertangguh atau ‘projek sakit’ terutama dalam kawasan berkepadatan penduduk tinggi dalam mengatasi isu sekolah sesak.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, kerajaan melalui kementeriannya sudah pun meluluskan bantuan kepada pembinaan sekolah yang tertangguh dalam Pelan Pelaksanaan (RP) 1 dan 2 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Sejak dua tahun yang lalu, seperti mana saya sebut tadi, keutamaan kita, pertama sekali untuk menyiapkan sekolah-sekolah terbengkalai kerana menyukarkan ibu bapa. Kedua, sekolah padat, sebab itu kami memohon banyak permohonan untuk dalam rolling plan RMK-12 , kita utamakan kawasan yang mana jumlah penduduknya tinggi, kepadatan tinggi.
“Alhamdulillah dalam RP1 dan 2, kita diluluskan beberapa projek untuk pembinaan sekolah baharu di kawasan yang berpenduduk padat. Ini memang keutamaan kementerian kerana apa kita tiada pilihan bila jumlah penduduk itu meningkat dengan mendadak sekiranya kita biarkan terlalu lama, akan jadi seperti di sini, terpaksa hantar sekolah yang lebih jauh dari kawasan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima penyerahan sekolah daripada syarikat kontraktor utama, Wangsa Delima Sdn Bhd dalam Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi; Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Selangor, Datin Nor Faridah A Bakar dan Pengarah Urusan Wangsa Delima, Mohd. Nazri Md. Yusof.
Utusan Malaysia pada 28 Mac lalu melaporkan sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang sesak apabila mempunyai lebih 3,000 pelajar yang membabitkan dua sesi iaitu pagi dan petang.
Sekolah menengah dan sekolah rendah yang dikesan mengalami masalah sesak dengan jumlah kelas melebihi 10 bagi setiap darjah atau tingkatan adalah di sekitar Klang, Shah Alam, Sungai Buloh, Seri Kembangan, Bangi, Kajang dan Rawang.
Malah, dalam tinjauan pemberita ketika itu, terdapat beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan berlaku kesesakan di sekolah antaranya adalah kawasan tumpuan dan berkepadatan penduduk yang tinggi.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi memaklumkan keutamaan kerajaan adalah membina sekolah baharu dan membantu projek bermasalah di kawasan berkepadatan penduduk tinggi.
Malah, beliau turut memaklumkan, bantuan terhadap pembinaan sekolah seperti di SMK Bandar Saujana Putra juga mengurangkan masalah sekolah jauh dan kepadatan yang berlaku seperti di SMK Jenjarom serta sekolah lain di Puchong dan Telok Panglima Garang.
Jelas Mohd. Radzi, pembinaan SMK Bandar Saujana Putra yang sepatutnya siap pada Januari 2019 menyebabkan ibu bapa terpaksa menghantar anak ke sekolah sejauh 15 hingga 20 kilometer di kawasan berkenaan.
“Kelas untuk sekolah ini ada 10 untuk tingkatan 1, lapan untuk tingkatan 2, tingkatan 3 (enam kelas) dan tingkatan 4 (dua kelas). Itu kelas-kelasnya dengan jumlah murid seramai 988 orang.
“Itu pendaftaran murid untuk sekolah ini, maknanya bila buka kita sudah berada pada kapasiti yang maksimum, namun, pada masa sama kita melihat apakah pendekatan boleh digunakan untuk tingkatkan sedikit lagi kapasiti mengambil kira permohonan dan permintaan daripada ibu bapa,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE