PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa ketidakhadirannya semasa sesi undian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen kerana tidak mahu meluluskan undang-undang berkenaan.
Kepada Mingguan Malaysia, Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak hadir ke Dewan kerana mempunyai urusan yang perlu diselesaikan sebelum undi belah bahagian diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Katanya, sekalipun tidak hadir mengundi usul tersebut, tidak bermakna beliau menolak usul kerajaan kerana beliau sendiri merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap SOSMA semasa menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Dakwaan mengatakan saya tidak bersetuju meluluskan SOSMA tidak benar sama sekali. Saya sudah menjelaskan mengapa saya tidak hadir semasa sesi mengundi kerana saya ada hal lain, malah saya sudah keluar dewan lebih awal. Bukannya pada saat akhir sebelum undi belah bahagian bermula.
“Saya memang bersetuju untuk meluluskan undang-undang ini, kerana saya yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya semasa menerajui Kementerian Dalam Negeri dahulu,” katanya ketika dihubungi semalam.
SOSMA merupakan akta yang digubal sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ahmad Zahid dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan SOSMA terus berjalan di bawah pentadbirannya. – UTUSAN