KUANTAN: Orang ramai yang ingin mencari kelainan dan ketenangan sambil menikmati hidangan lazat boleh mengunjungi Mari’s Buffet Cafe yang terletak di pusat bandar raya ini.
Mari’s Buffet Cafe menyediakan pelbagai juadah dan sajian istimewa dengan harga berpatutan bagaikan berada di hotel bertaraf lima bintang.
Pengarah Pengurusan Mari’s Buffet Cafe, Jamaliah Ismail berkata, sajian di cafe itu bukan sahaja terletak pada kelazatan makanan disajikan, malah. dekorasinya yang menarik perhatian.
Ini kerana katanya, semua kakitangan Mari’s Buffet Cafe mempunyai pengalaman bekerja di hotel dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
“Kami rasa seronok dan berpuas hati apabila dapat menghidangkan makanan bukan hanya sedap, tapi cantik dipandang seperti mana yang terdapat di hotel besar bertaraf lima bintang.
“Bukan semua orang mampu makan di restoran mewah atau hotel bertaraf lima bintang, di Mari’s Buffet kami dapat membantu orang ramai khususnya mereka yang mempunyai keluarga besar dan orang kampung menikmati juadah ala restoran mewah pada harga mampu bayar.
“Apa yang penting adalah orang ramai bukan datang ke sini sekali sahaja tetapi kembali lagi ke sini lagi kerana berpuas hati bukan sahaja pada hidangan disediakan, malah, layanan dan harga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jamaliah berkata, Mari’s Buffet Cafe dibuka dua waktu iaitu menyediakan juadah secara buffet pada waktu petang “hi-tea” dengan pelbagai jenis kuih muih tradisional dan makanan warisan seperti laksa pahang dan rendang dendeng yang dimakan dengan ketupat palas.
“Pada waktu malam “dinner” kami menyediakan buffet steamboat, bubur nasi dengan pilihan lauk pauk dan roti bakar pelbagai jem pastinya sedap untuk dinikmati,” katanya.
Beliau berkata, selain hidangan istimewa dan menyelerakan, cafe itu turut mempunyai ruang yang suasananya damai serta dekorasi cantik untuk bergambar.
Menurutnya lagi, cafe berkenaan turut menyediakan pentas untuk kegunaan pelanggan bagi apa jua acara.
“Persembahan busking setiap Jumaat dan Sabtu khas untuk orang ramai yang mengunjungi cafe kami,” katanya. –UTUSAN ONLINE