Remaja maut: Ujian tambahan di luar negara - Utusan Malaysia

Remaja maut: Ujian tambahan di luar negara

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman seorang remaja lelaki didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin termasuk dihantar ke luar negara untuk ujian lebih komprehensif.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan memastikan perkara tersebut dilakukan segera.

Beliau berkata, hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan setakat ini termasuk pemeriksaan histologi akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar-pakar forensik dalam satu sesi peer-review pada 7 Mac ini untuk pengesahan.

Katanya, laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas sesi semakan pakar tersebut.

“Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada kedua ibu bapa mendiang dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Khairy bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr. Emizam Mohamadon mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa remaja tersebut, Naresh Kumar Lachmenou dan Vijayarani Govindan.

Anak mereka, Revnesh Kumar meninggal dunia secara mengejut pada 16 Januari lalu. 

Remaja tersebut menerima suntikan vaksin Pfizer pertamanya pada 30 Disember lalu di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya dan pada 16 Januari, dia tiba-tiba rebah dalam lif di blok perumahannya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia.

Dalam perjumpaan selama 30 minit di Kementerian Kesihatan di sini, beliau bersama Noor Hisham dan Dr. Emizam memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan ke atas punca kematian mendiang Revnesh Kumar dan juga perancangan serta komitmen pihaknya untuk mengenal pasti punca kematian mendiang.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, beliau dan seluruh warga kerja KKM menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Revnesh Kumar atas pemergiannya.

Kata beliau, perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan beliau memohon masyarakat untuk menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang. 

Pada masa sama, beliau memohon masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya