SINTOK: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bertitah supaya rakyat di negeri ini tidak leka dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 yang memasuki tahun ketiga ini.
Titah Sultan Kedah yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, baginda berpandangan, keadaan pandemik ini akan berterusan untuk satu tempoh yang panjang berdasarkan perkembangan terkini.
“Oleh itu, jangan leka dan patuhilah SOP yang ditetapkan oleh pihak yang berwajib. Perlu kita ingati bahawa setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Beta berharap agar semua dapat bersabar dalam menempuh ujian yang memasuki tahun ketiga ini,” titah baginda secara dalam talian sempena Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Muadzam Shah, UUM di sini hari ini.
Baginda bertitah, sifat sabar amat dituntut dalam agama kerana ia merupakan senjata yang paling ampuh yang dapat membantu kita menghadapi pelbagai ujian dan dugaan.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, beta meletakkan harapan yang tinggi agar saudara dan saudari dapat menjadi insan yang lebih berdaya tahan,” titah baginda.
Seramai 4,052 graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen itu yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini.
Pada masa yang sama, Sultan Sallehuddin juga bertitah, UUM juga perlu berganding bahu dengan kerajaan negeri untuk memacu agenda pembangunan negeri menerusi kerja penyelidikan, program komuniti dan latihan.
“Selain itu, graduan juga perlu mencipta peluang untuk menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan dan perniagaan. Beta perkenan untuk mengingatkan bahawa kita perlu terus meningkatkan kekuatan sedia ada dalam bidang pertanian, terutamanya industri padi dan beras.
“Selain pengaplikasian teknologi baharu sepenuhnya, peningkatan pengetahuan dan kemahiran pertanian, serta kerjasama bersepadu pelbagai agensi pertanian, semangat memajukan pertanian dalam kalangan rakyat negeri ini juga perlu dipertegapkan dan diperkasakan,” titah baginda.
Baginda bertitah, sebagai negeri jelapang padi, Kedah mempunyai tanggungjawab sosial yang amat besar terutamanya dalam menjamin keselamatan bekalan makanan negara pada masa hadapan.
Dalam majlis konvokesyen itu, UUM mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang merupakan bekas Naib Canselor UUM dan juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. –UTUSAN ONLINE