SEREMBAN: Sebuah premis pemprosesan ayam dan burung puyuh sejuk beku di sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
dalam Operasi Penguatkuasaan Halal, pagi tadi.
Premis itu disyaki menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu melibatkan seramai empat orang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan dan lima orang pegawai JHEAINS.
Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi tersebut dijalankan di sebuah premis di Taman Negeri, Jalan Seremban-Port Dickson hasil daripada pemantauan dan perkongsian maklumat antara pihak KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS.
Jelasnya, premis tersebut merupakan sebuah perusahaan memproses ayam dan burung puyuh sejuk beku yang dimiliki oleh seorang warganegara tempatan berumur 34 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan ini telah tamat tempoh pada bulan September 2021. Namun begitu, logo halal Jakim masih digunakan pada paket-paket pembungkusan produk keluaran perniagaan ini.
“Sebanyak 14 unit paket ayam dan 44 unit paket burung puyuh sejuk beku keluaran perniagaan ini yang disyaki menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada berkuasa telah disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM1,540,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ain Arjuna, kesemua barangan tersebut di sita di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE