KUBANG PASU: Polis Kedah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dikekang menjelang pembukaan sempadan negara, esok.
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukan khas itu akan berperanan melaksanakan operasi dikenali sebagai Ops Khas Sempadan secara tetap.
Katanya, pasukan itu akan menggabungkan unit-unit khas polis seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), unit kereta peronda polis (MPV), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), sekatan jalan raya (SJR) serta unit Unit Anjing Pengesan (K9).
“Pasukan khas ini juga akan menggunakan keanggotaan dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Changlun bagi membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sentiasa bersiap siaga mengawal pintu masuk negara.
“Selain rondaan secara berkala dengan berjalan kaki, bermotosikal serta kenderaan pacuan empat roda, pasukan khas ini akan turun melaksanakan rondaan di kawasan khas serta melakukan pemeriksaan di SJR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penugasan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Malaysia Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Pada sidang akhbar selepas itu, Wan Hassan berkata, pasukan khas tersebut akan disertai antara 70 hingga 100 pegawai serta anggota polis yang bersedia dikerahkan pada bila-bila masa untuk melaksanakan tugas di sempadan.
Menurutnya, jumlah pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam pasukan khas tersebut berkemungkinan akan ditambah bergantung kepada keperluan.
“Kita akan lihat dan pantau keadaannya nanti. Jika terdapat keperluan, tidak mustahil jumlah pegawai serta anggota itu akan ditambah. Rondaan pasukan ini tidak hanya akan dibuat di Bukit Kayu Hitam sahaja, malah, akan dilaksanakan hingga ke Padang Terap.
“Secara keseluruhannya, jika dicampurkan dengan kekuatan anggota PGA sedia ada, terdapat kira-kira 300 pegawai dan anggota yang terlibat secara langsung dalam mengawal sempadan di negeri ini.
“Jika PGA lebih tertumpu kepada kawasan berhampiran garis sempadan negara, pasukan khas ini pula akan memberi tumpuan ke kawasan yang ‘dalam’ di sempadan tanah air,” katanya. –UTUSAN ONLINE