PIP rancakkan perdagangan Malaysia Thailand - Utusan Malaysia

PIP rancakkan perdagangan Malaysia Thailand

TUANKU Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (depan) sambil diperhatikan Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) merasmikan pelancaran PIP dan Bonded Road di Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA), Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Kewujudan Projek Pembangunan Terminal Pelabuhan Darat Perlis (PIP) amat bertepatan bagi merancakkan perdagangan Malaysia-Thailand selain membantu perkembangan ekonomi negeri ini.

Selain itu, projek berkenaan juga bakal mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Kawasan Perindustrian Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

Ujarnya, selain itu, ia akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA.

“Ekoran daripada pelancaran PIP itu juga, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

“Walaupun baru sahaja dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.

“Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PIP dan Bonded Road di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. 

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif NCIA, Mohammad Haris Kader Sultan.

Seterusnya Ismail Sabri berkata, Perlis sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca pandemik. 

Katanya, ia dapat dilihat menerusi kenaikan jumlah dagangan melalui negeri Perlis pada tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu sebanyak RM7.9 billion berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020.

“Penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5 peratus pada suku ke-4 tahun 2021 berbanding 63 peratus bagi tempoh yang sama pada 2020.

“Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya sebagai negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, ketika lawatan rasmi beliau ke Thailand baru-baru ini, menunjukkan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala serta kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja.

“Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada AS$30 bilion menjelang 2025. Kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

“Sukacita juga saya umumkan nilai dagangan terkini (2021) Malaysia – Thailand adalah AS$23.64 bilion dan daripada jumlah itu, AS$10.5 bilion disumbangkan melalui perdagangan di sempadan (border trade),” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya