KUALA TERENGGANU: Pesakit Covid-19 diingatkan tidak mengambil mudah soal kewajipan berpuasa sekiranya tiada keperluan mendesak untuk membatalkan ibadah masing-masing.
Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, kewajipan itu hanya gugur jika tahap keuzuran golongan berkenaan berbahaya untuknya berpuasa sebagaimana yang disarankan doktor.
“Jadi, jangan mengambil mudah dan menganggap keuzuran Covid-19 itu sebagai alasan untuk sengaja berbuka.
“Istilah tahap keuzuran itu kita kena tengok macam mana keadaannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Nadwah Ilmuan Muslim di sini semalam.
Menurut Mohamad Sabri, tindakan seseorang membatalkan puasa dan menggantinya pada hari lain tidak sama ganjarannya dengan berpuasa pada bulan Ramadan.
Katanya, bulan Ramadan cukup istimewa dan mempunyai kelebihan tersendiri sekali gus menuntut iltizam umat Islam untuk beribadah kepada Allah.
Sementara itu, beliau berkata, pengumuman mengenai isu merapatkan saf solat akan diperincikan bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam masa terdekat. –UTUSAN ONLINE