Pembentukan sahsiah, jati diri perlu jadi komponen kandungan pendidikan negara - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Pembentukan sahsiah, jati diri perlu jadi komponen kandungan pendidikan negara – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin berkenan mencemar duli melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir di Hotel Majestic Kuala Lumpur. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara.

Baginda bertitah, anak muda perlu diberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara. 

“Parlimen Malaysia, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.

“Susulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus.

“(Ini) bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan.

“Keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi, ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan,” titah baginda.

Justeru, Sultan Nazrin bertitah, anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.

Selain itu, titah baginda, anak muda perlu dibimbing agar memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin. 

“Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah dan bijaksana mengenali antara permata dengan kaca,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam ucapan pelancaran buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir karya Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dan Dr. G. Manimaran, di Hotel Majestic, hari ini.

Buku yang dilancarkan itu mengandungi 15 bab dan 760 halaman merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan pengalaman peribadi penulis.

Mengulas mengenai buku tersebut, Sultan Nazrin bertitah, penerbitan itu bertujuan mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan lebih memahami peranan mereka sebagai pengundi. 

“Sedarilah kejayaan mahupun kegagalan sesebuah kerajaan bermula dengan sikap, bermula dengan budaya, bermula dengan nilai, bermula dengan harga diri yang mempengaruhi pertimbangan pengundi ketika memilih pemimpin. 

“Semoga penerbitan ini menjadi sebahagian daripada bahan rujukan yang dapat membantu mencelikkan mata hati para pengundi. 

“Beta menzahirkan penghargaan atas usaha Tan Sri Ab. Rashid Ab Rahman dan Dr. G. Manimaran, begitu juga kepada Penerbit Universiti Malaya,” titah baginda.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya