KUANTAN: Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Pahang memohon Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) supaya bertindak lebih proaktif dalam memperkasakan perundangan syariah di negara ini.
Pengerusi Pembela Pahang, Datuk Syed Nasarudin Syed Abdul Hadi berkata, perundangan syariah hari ini dilihat seolah-olah tidak lagi mendapat tempat yang sewajarnya dan sudah mula dianggap asing dalam sistem perundangan negara.
“Pembela Pahang ingin menegaskan bahawa perundangan syariah perlu diperkasakan agar setiap penghakiman dibuat selari syarak dan sesuai dengan kerangka asas negara ini.
“Sekiranya tiada tindakan yang tuntas dibuat, kita percaya berkemungkinan padah yang lebih besar akan menimpa umat Islam,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas penyerahan memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain di sini hari ini.
Syed Nasarudin dalam pada itu berkata, Pembela Pahang berharap, pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab memastikan jawatan kuasa teknikal sedia ada mengkaji Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah negeri untuk ditambah baik.
Katanya, pindaan tersebut dibuat untuk tidak lagi memberi ruang kepada sebarang cabaran dan kekurangan dalam perundangan pada masa akan datang.
“Pada masa sama, minta jawatan kuasa teknikal itu dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya penuh yang bebas bagi memastikan kelancaran proses mensyariahkan perundangan negara.
“Jawatankuasa Pelantikan Hakim juga digesa berfungsi menilai calon-calon hakim yang akan dilantik memahami perundangan watan dan syariah,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, Muip dan pihak berkuasa agama seluruh negara juga digesa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan negara ini bagi menggantikan versi bahasa Inggeris yang sedia ada sekarang.
“Langkah itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kekhilafan dalam penafsiran istilah-istilah yang ada di dalam Perlembagaan.
“Justeru, ia dapat mengelak daripada berlakunya keputusan yang tidak mengikut syarak sekali gus menjejaskan umat Islam,” katanya. –UTUSAN ONLINE