PETALING JAYA: Institut Pengurusan Wanita (WIM) dalam pencarian bagi mengiktiraf kepimpinan golongan wanita menerusi Anugerah Pemimpin Wanita Tan Sri Datuk Napsiah Omar (TSDNO).
Pengerusi TSDNO bagi Kepimpinan Wanita, Puan Sri Siew Yong Gnanalingam berkata, Siew Yong berkata, anugerah yang diambil sempena nama pemimpin itu bertujuan untuk mengangkat martabat wanita melalui program-program dialog, usaha kolaborasi, kaji selidik, forum, persidangan, latihan dan program-program pendidikan bertemakan ‘Perkasa Wanita Menjadi Pemimpin’.
Jelasnya, apa yang membezakan anugerah itu ialah memberi fokus kepada pengiktirafan yang dicapai sebagai inspirasi dan teladan di dalam bidangnya.
“Kami berharap dengan Pemimpin Wanita ini seterusnya memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain di setiap bidang untuk mencapai kejayaan di samping menjadi pemimpin wanita teladan.
“Oleh itu, kami tidak sabar untuk menerima banyak pencalonan daripada wanita yang layak dalam negara yang sudah menunjukkan nilai-nilai yang kuat dan memberi kebaikan pada orang lain dalam bidang keusahawanan, pengurusan, perniagaan dan kerja sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, borang pencalonan boleh didapati di pejabat WIM, Wisma WIM atau boleh dicetak daripada laman rasminya di pautan www.wimnet.org.my dan tarikh tutup pencalonan adalah 20 April ini.
“Semua pihak dijemput menghantar calon-calon bagi anugerah kategori berbeza iaitu perniagaan dan keusahawanan, pendidikan, pengurusan korporat, khidmat masyarakat, komuniti dan sosial serta teknologi.
“Akan ada enam juri terkemuka akan memilih pemenang daripada enam kategori dan pemimpin wanita yang cemerlang secara keseluruhan,” katanya. –UTUSAN ONLINE