LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan dikendalikan tiga warga asing dekat muara Sungai Perak dekat Bagan Datuk dipercayai menangkap ikan secara haram di negara ini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, bot tersebut tidak memiliki nombor pendaftaran yang lazim ada pada bot nelayan tempatan dan berada pada kedudukan 2.3 batu nautika barat laut muara Sungai Perak, sekitar pukul 1 tengah hari.
“Tangkapan itu dilakukan semalam oleh bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan dekat situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fadzliana, pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati bot itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut terhadap ketiga-tiga individu tersebut mendapati mereka juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tegasnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 iaitu tidak memiliki lesen perikanan serta kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, untuk proses penahanan dan siasatan.
“Siasatan dan tindakan lanjut akan dilaksanakan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” ujar beliau.
Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – UTUSAN