Pahang tingkat promosi teknologi hijau dan tenaga baharu - Utusan Malaysia

Pahang tingkat promosi teknologi hijau dan tenaga baharu

MOHD. SHARKAR Shamsudin ketika melancarkan Pahang International Tourism Symposium 2022 secara maya, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang bercadang menyediakan beberapa loji jana kuasa solar di negeri ini sebagai salah satu usaha mempromosikan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, loji jana kuasa Biogas yang terletak di Bera, merupakan antara tenaga boleh diperbaharui dan terbesar di negeri ini.

“Tenaga boleh diperbaharui melalui biogas dihasilkan daripada minyak kelapa sawit dan penggunaan tenaga itu dapat membantu mengawal efluen kilang serta mengurangkan penggunaan arang batu atau gas asli. 

“Kita sedar kebaikan tenaga boleh diperbaharui ini dan ia sebenarnya turut memberi manfaat kepada sektor pelancongan seperti perhotelan. 

“Dalam masa yang sama, amalan ini sebenarnya dapat mencipta laluan untuk persekitaran yang lebih lestari pada masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Simposium Pelancongan Antarabangsa Pahang 2022 yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Majlis itu merupakan anjuran Tourism Pahang dengan Kerjasama Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) bertemakan Pelancongan Hijau dan Strategi Kemapanan yang disertai beberapa negara seperti, India, Korea Selatan, Filipina, Pakistan dan Vietnam. 

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, sektor pelancongan negeri ini digalakkan untuk menghidupkan kembali acara pelancongan yang berasaskan alam sekitar.

“Terbaru, pelbagai acara telah diaturkan antaranya perlumbaan burung antarabangsa di Bukit Fraser, pertandingan Billfish Antarabangsa Diraja Pahang, cabaran hutan hujan dengan memulakan pendakian di Pulau Tioman dan beberapa kawasan menarik di Pahang. 

“Inisiatif ini bagi mempamerkan lagi keindahan semula jadi negeri ini bukan sahaja kepada pelancong luar, malah, tempatan. Kita harap dengan usaha ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di Pahang selepas pembukaan sempadan negara bermula 1 April depan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN