JOHOR BAHRU: Menteri Besar baharu Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi komited menggalas tanggungjawab dengan sepenuh hati dan dedikasi serta sedaya upaya demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan bangsa Johor.
Beliau berkata, gabungan orang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuh negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh.
Beliau turut memaklumkan akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang jauh lebih berpengalaman berban-ding dirinya.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Johor atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepemimpinan beliau bagi menstabilkan negeri Johor yang kita sayangi dan juga kepada saya secara peribadi selama ini.
“Pengorbanan beliau memberi ruang kepada orang muda memimpin Johor bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi negeri Johor,” katanya di sini, semalami.
ADUN Machap yang berusia 44 tahun itu menerima surat tauliah pelantikan dan melafaz sumpah jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, di sini, semalam.
Pelantikan beliau yang disebut-sebut antara tiga nama dicadangkan sebagai calon Menteri Besar Johor ke-19 menamatkan spekulasi berkaitan perkara itu apabila menjadi pilihan Istana Johor, semalam.
Meskipun dikatakan terdapat 38 daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu menandatangani akuan bersumpah (SD) memilih Hasni, namun Onn Hafiz telah mengangkat sumpah jawatan itu.
Surat tauliah itu dikurniakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sambil disaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Hasni selaku bekas Menteri Besar Johor ke-18.
Onn Hafiz selepas istiadat mengangkat sumpah berkenaan berkata, beliau akan sentiasa memohon nasihat daripada Hasni yang jauh lebih berpengalaman kerana baginya gabungan orang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuh Johor agar terus disegani.
“Pengorbanan Datuk Hasni memberi ruang kepada orang muda memimpin Johor bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa Negarawan beliau, tetapi juga membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi negeri ini,” katanya.
Beliau terdahulu turut merafak sembah menjunjung kasih terhadap Sultan Ibrahim atas perkenan melantiknya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.
“Patik sesungguhnya merasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan. Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan digalas dengan sepenuh hati dan dedikasi serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor,” katanya. – UTUSAN