KOTA TINGGI: Seorang nelayan berdepan detik cemas apabila jarinya terputus ketika sedang menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, pagi semalam.
Mangsa, Azmi Arifin, 46, dipercayai cedera akibat tersepit pada mesin penarik pukat ketika berada di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima maklumat kecemasan itu melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada pukul 9.20 pagi daripada nelayan tempatan.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot mereka juga dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.
“Mangsa putus satu jari akibat tersepit ketika melakukan kerja-kerja menarik pukat. Ekoran itu, Maritim Malaysia segera mengkoordinasi bantuan MEDEVAC dengan menghubungi komuniti maritim yang berada berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi.
“Mangsa telah dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 1.45 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk menerima rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail bagi rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Maritim Malaysia menghargai bantuan komuniti maritim khasnya pemancing yang terlibat dalam memberikan bantuan dengan pantas kepada mangsa. – UTUSAN