Negeri Sembilan tanam rumput napier di tanah rizab padang ragut - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan tanam rumput napier di tanah rizab padang ragut

BAKRI Sawir (kanan) dan Mohd. Nasir Samat melihat ternakan kambing yang diusahakan Mohd. Nasir di Sumobek Trading House di Kampung Melayu Panchor, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengoptimumkan penggunaan seluas 161 hektar tanah rizab padang ragut yang ada di negeri ini termasuk bagi penanaman rumput napier untuk penghasilan makanan ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, jumlah keluasan tanah rizab padang ragut tersebut merupakan yang masih berbaki daripada keseluruhan 1,200 ekar yang ada.

“Walaupun namanya padang ragut, tetapi, ia boleh ditanam dengan tanaman napier, dituai dan dioptimumkan dengan memperbanyakkan makanan untuk ternakan. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan sedikit (kebergantungan) kepada makanan ternakan lain.

“Saya juga akan meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk melihat keseluruhan kepada baki tanah padang ragut tersebut, jika ada penternak yang berpotensi dan berminat, kita akan serahkan kepada mereka untuk usahakan termasuk untuk meningkatkan pengeluaran hasil daging ruminan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Rumah Sembelih Ruminan Besar Sumobek Sdn. Bhd. di Kampung Melayu Panchor di sini hari ini.

Sementara itu, Bakri berkata, ketika ini, Negeri Sembilan mempunyai keseluruhan sebanyak lapan buah rumah sembelih iaitu lima buah dikendalikan oleh pihak swasta dan tiga buah lagi oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Dari segi kapasiti untuk waktu normal, rumah-rumah sembelih yang ada mencukupi untuk menampung permintaan penyembelihan ruminan daripada penternak, namun, pada musim perayaan, ia memang tidak mencukupi,” katanya.

Pemilik Sumobek Sdn. Bhd., Mohd. Nasir Samat pula berkata, rumah sembelih diusahakannya itu mampu untuk menampung penyembelihan sebanyak 12 hingga 14 ekor lembu ataupun kerbau dalam masa satu jam bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Penambahan sebuah lagi rumah sembelih akan banyak membantu penternak termasuk bagi mengekalkan kualiti daging ternakan yang disembelih terutama dalam aspek penyimpanan.

“Jarak perjalanan yang jauh ke sesebuah rumah sembelih menyebabkan kualiti daging menurun kerana disimpan agak lama,” katanya yang memberitahu telah mengeluarkan modal sebanyak RM100,000 bagi membina rumah sembelih tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya